Dalam 7 kekuatan ada 7 kelemahan. Sekiranya ditutup 7 kelemahan tersebut, Insya Allah bertambahlah ilmunya, imannya, takwanya dan amalnya. Itulah 7 deria manusia.
Manusia mempunyai 7 deria iaitu kulit, mulut, hidung, dua mata dan dua telinga. Dari 7 deria inilah manusia itu mengenal nikmat Allah SWT. Manusia menggunakan 2 mata untuk melihat benda yang cantik. Menggunakan 2 telinga untuk mendengar bunyi yang merdu. Menggunakan hidung untuk mencium bau yang wangi. Menggunakan mulut untuk merasa makanan yang lazat dan menggunakan kulit untuk merasai kepanasan, kesejukan dan memegang benda-benda di dunia ini.
Sebenarnya Allah SWT memberikan manusia 7 deria tersebut agar mereka memerhatikan ciptaan alam ini agar mereka dapat mengenal Allah SWT. Firman Allah SWT “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” (Surah al-Imran,ayat 190-191)
Itulah kekuatan manusia, apabila mereka menggunakan 7 deria yang diberikan oleh Allah SWT kepada perkara-perkara yang baik. Mata melihat kejadian alam. Telinga mendengar ceramah agama. Hidung mencium bau yang wangi dan bernafas sambil mengingati Allah. Mulut untuk berkata-kata tentang kebesaran Allah dan membaca Al-Quran. Kulit dan anggota untuk melakukan amal-amal yang direhai Allah.
Pada masa yang sama, 7 deria manusia itulah juga kelemahannya, apabila manusia menyalahgunakan 7 deria tersebut kepada perkara-perkara yang haram dan tidak baik. Apabila mata melihat perempuan yang tidak halal, telinga mendengar umpatan dan kejian, hidung mencium dadah dan asap rokok, mulut mengata, mengeji dan mengumpat dan kulit dan anggota menyentuh perkara yang haram dan berbuat maksiat.
Itulah sebenarnya ujian kepada kita di dunia ini. Kita perlu menutup kelemahan 7 deria kita tersebut dengan bermujahadah melawan hawa nafsu kita. Lakukanlah perkara tersebut semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Ingatkah anda kisah seorang sufi yang mempunyai seorang anak perempuan yang dikatakan cacat, buta, pekak dan bisu. Rupa-rupanya dia dikatakan cacat kerana tidak pernah menggunakan anggotanya kepada perkara yang haram. Buta kerana tidak pernah melihat yang haram. Pekak kerana tidak pernah mendengar perkara haram dan bisu kerana tidak pernah berkata perkara haram.
Itulah matlamat kita walaupun amat sukar untuk dilakukan pada akhir zaman ini. Bermujahadahlah melawan nafsu kita. Moga bertambah ilmu kita, iman kita, takwa kita dan amal kita dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan redha kepada kita.
*Sumber dari lautan-biru.blogspot.com
Kekuatan dan Kelemahan 7 Deria Manusia
4/
5
Oleh
Yoko
Donate and coment. Happy blogging 😊