Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya pada saat semua orang enggan memberinya? Siapakah wanita yang mampu memberikan Rasulullah SAW keturunan? Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada saat semua orang membencinya? Semua jawapan ini terhimpun pada Khadijah a-Khuwailid. Terangkat kemuliaannya sebagai murabbiah paling terang daripada segenap gugusan bintang.
Aishah R.A merupakan wanita pertama di hati Rasulullah SAW selepas Khadijah R.A. Wanita ini memiliki tujuh kelebihan yang tidak dimiliki wanita lain kecuali kelebihan yang diberikan Allah kepada Maryam binti ‘Imran. Aishah R.A lebih memilih kesederhanaan walaupun seringkali dilimpahkan kekayaan. Dia pernah membahagi-bahagikan 70,000 dirham wang perak padahal pada waktu yang sama dia menampal jahitan pakaiannya.
Siapa pula gerangan wanita tabah yang mekar berbapakan seorang tokoh Quraisy yang dermawan dan pemurah? Wanita ini dengan penuh kecekalan hati mendukung anak dari buaian lalu membawanya menaiki unta. Biarpun tiada sesiapa yang menemani perjalanan panjang yang melelahkan dan berisiko tinggi itu, namun si ibu tekad meneruskan perjalanan untuk menyusuli suaminya demi menyatukan kembali cinta tiga beranak itu di Madinah. Itulah Ummu Salamah. Tokoh wanita agung yang ternukil dalam Siyar A’lam Al-Nubala’ hasil nukilan Imam Al-Zahabi.
Suatu hari, Rasulullah SAW memberitahu Fatimah R.A bahawa dia bukanlah wanita pertama yang masuk ke syurga. Fatimah sangat sedih dengan perkhabaran itu dan cemburu kepada wanita tersebut. Fatimah tertanya-tanya, apakah amalan wanita itu sehingga beliau layak menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga? Nekad untuk berjumpa dengan wanita yang bernama Muti’ah, Fatimah akhirnya diizinkan masuk ke rumah wanita itu pada hari ketiga lawatannya untuk menyelidik keistimewaan atau amalan wanita tersebut. Fatimah kagum dan terharu dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Muti’ah kepada suaminya. Rasulullah memujuk Fatimah dengan mengkhabarkan Muti’ah ialah wanita yang akan menjadi penarik kudanya di syurga nanti. “Maka sebab itu dia akan masuk dahulu, namun hakikatnya engkaulah Fatimah wanita pertama yang masuk ke syurga,” Rasulullah memujuk sambil memandang Fatimah dengan penuh kasih.
Terdapat seorang isteri Rasulullah SAW yang tidak berkesempatan meriwayatkan sebarang hadis kerana singkatnya hidup bersama Baginda. Walaubagaimanapun beliau tidak pernah menyembah berhala kerana keislamannya sejak dalam buaian lagi. Muslimah ini telah menyaksikan perjuangan Islam dan cabaran-cabarannya sejak awal kemunculan dan diberi julukan ‘Ummul Masakin’ yang bermaksud ‘Ibu Orang Miskin’. Itulah Zainab binti Khuzaimah. Zainab sedar, Rasulullah SAW telah berkorban untuk menikahinya demi menafkahi dan melindunginya. Justeru itu, dia menyibukkan diri dengan menyantuni orang miskin selain beribadah kepada Allah SWT.
Terlalu banyak srikandi mulia di sisi Rasulullah SAW yang kisah kehidupannya wajar diselusuri untuk diteladani oleh wanita muslimah di zaman ini. Dalam setiap pancaroba yang dilalui, pastinya boleh dikaitkan dengan pengalaman eksklusif para wanita syurga yang diharungi hanya berpaksikan kesetiaan terhadap Allah dan Rasul. Masih ramai yang belum dapat dikenali, inikan pula untuk dihayati.
Akademi iMuslim Malaysia, sebuah badan Pendidikan Islam tempatan yang berpusat di Shah Alam, Selangor mengambil peluang ini untuk menyediakan ruang bagi pencari ilmu khususnya para wanita dengan menganjurkan konvensyen Islamik tahunan yang dinamakan ‘The Bidadari’. Sepanjang tiga tahun yang lalu, Konvensyen ini telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai satu program yang signifikan dan kini diiktiraf sebagai perhimpunan wanita terbaik di seluruh Asia.
Bertemakan ‘Srikandi Mulia di Sisi Rasulullah SAW’, Konvensyen ini diharap agar dapat mencetus inspirasi untuk membentuk jati diri yang kukuh di kalangan para Muslimah dalam memainkan peranan sebagai tonggak pemimpin masa hadapan ummah. Segalanya akan dikupas oleh beberapa tokoh wanita unggul serta pencetus inspirasi yang bakal menjentik minda melalui perkongsian pengalaman menuju Allah, berkisarkan kisah tauladan daripada para isteri Rasulullah SAW dan para sahabat.
‘The Bidadari’ merupakan sebuah festival, ekspo dan bengkel ilmu yang menyasarkan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ilmu dan agama. Diadakan buat kali ketiga di Malaysia, Konvensyen ‘The Bidadari’ bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 dan 31 Ogos 2014.
Dua hari yang sarat dengan keilmuan menjanjikan peluang untuk mengetahui dan mengambil ibrah srikandi mulia di sisi Rasulullah SAW. Di samping itu, Konvensyen ini akan turut diserikan dengan ‘School of Sahabah’, sebuah pengisian mantap oleh barisan ilmuwan tempatan dan antarabangsa. Topik-topik yang akan dibincangkan adalah mengenai para sahabat hasil didikan Rasulullah SAW melalui perjalanan dakwah, panduan dan kepimpinan yang sentiasa relevan dengan cabaran semasa.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, kira-kira 3,000 orang peserta dijangka hadir ke Konvensyen ‘The Bidadari’ pada kali ini. Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian melalui www.thebidadari.com dengan harga tawaran sebanyak RM 100 sehingga 31 Julai 2014. Aktiviti menarik untuk kanak-kanak, gerai jualan dan kemudahan untuk para ibu yang menyusukan turut disediakan.
Sumber:
1. Aisyah Binti Abu Bakar R.A – Isteri yang Kreatif Mempamerkan Cintanya, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 22
2. Zainab binti Khuzaimah – Dua Bulan Menjadi Isteri Nabi SAW, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 29
3. Wanita Pertama Masuk ke Syurga, Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood, Solusi Isu No. 42
4. Ummu Salamah – Terpisah Cinta 3 Beranak, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 31
5. Khadijah al-Khuwailid – Isteri Terbaik, Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu No. 23
Wanita Syurga - Srikandi Mulia di Sisi Rasulullah SAW
4/
5
Oleh
Yoko
Donate and coment. Happy blogging 😊