Rabu, 17 Disember 2014

Kepuasan Dari Sujud


Pernahkah kita terfikir, setelah saban usia kita mendirikan solat berserta syarat rukunnya, apakah rukun solat yang paling disukai oleh Allah s.w.t.? Persoalan ini kita utarakan, mudah-mudahan dapat menambahkan kefahaman kita mengenai ibadah solat yang kita dirikan selama ini. 

Dengan menyelami, memahami, menjiwai serta menghayati setiap detik ibadah atau solat yang dikerjakan, barulah kita akan mendapat kemanisan dan faedah darinya. Barulah ibadah kita itu dapat mendinding dan mencegah diri kita dari dosa dan noda. 

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar." (Al-Ankabut: 45) 

Sememangnya segala rukun di dalam solat, baik rukun yang melibatkan hati (qalbi), lisan (qauli) mahupun perbuatan (fi'li) mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di sisi Allah. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya sarat dengan hikmah dan pendidikan dari Allah Taala. 

Namun begitu, amalan atau rukun yang paling disukai Allah ialah rukun sujud. Dikatakan juga bahawa waktu sujud itu adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Kenapa rukun sujud itu sangat utama dan paling disukai Allah?

Cuba kita perhatikan bagaimanakah keadaan kita ketika bersujud itu. Tidakkah pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan "rasa menghina dirinya" seseorang hamba itu di depan Tuhannya. 

Dia berada di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa "Ya Allah, hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan meminta pertolongan".

Seorang Sahabat Nabi s.a.w., iaitu Huzaifah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah, daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah (sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)." (Riwayat Imam Tabrani di dalam Ausath).

Orang yang tidak mahu, tidak suka, enggan ataupun malas bersujud kepada Allah sudah dapat digambarkan tahap kesombongan, keangkuhan dan keegoannya. Sinonimnya orang yang ego untuk sujud kepada Allah, adalah orang yang juga ego dan sombong kepada sesama manusia. Tidak begitu? 

Untuk sujud, meratakan dahi (muka) setaraf bumi dirasakan terlalu leceh, kolot dan membuang masa. Kalau ia bersujud pun, sujudnya tidak sempurna ibarat patukan ayam sahaja - hendak cepat selesai. 

Apalagi kalau yang bersujud sama di sebelahnya ketika itu adalah seorang fakir miskin. Hatinya rasa mendongkol dan bibirnya menjuih ke depan penuh penghinaan. 

Inilah manusia-manusia angkuh. Manusia-manusia yang ingin memakai "selendang" Allah, sedangkan selendang sombong (kibriyak) itu hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja.

Artikel Terkait

Kepuasan Dari Sujud
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email

Donate and coment. Happy blogging 😊