Jumaat, 23 Mei 2014

Imam Ghazali Berguru Dengan Tukang Potong Daging

Alkisah ini bermula pada saat Imam Ghazali yang mengimamkan satu solah fardhu disebuah masjid. Sedang Imam Ghazali mengimamkan solat tersebut, beliau terperasan atau menyadari adiknya yang turut menjadi makmum dalam solat berjemaah tersebut telah mufarakah(keluar dari solat berjemaah).

Maka setelah selesai solat berjemaah tersebut, Imam Ghazali pantas menemui adiknya itu(tidak begitu pasti nama adiknya, kemungkinan Imam Ahmad) dan bertanyakan mengapa adiknya itu tidak melakukan solat berjemaah sekali sebentar tadi.

Maka adiknya pun menjawab, " bagaimana aku hendak meneruskan solat berjemaah yang diimamkan oleh kau sedangkan aku melihat dirimu penuh dengan darah sewaktu solat tadi"
Imam Ghazali begitu terkejut sekali dan hairan bagaimana adiknya dapat mengetahui perkara tersebut. Imam Ghazali mengakui kepada adiknya bahawa ketika sedang solat tadi terlintas dalam hatinya mengenai perkara yang sedang ditulisnya, iaitu berkenaan haid wanita.

Lantas Imam Ghazali bertanya kepada adiknya dimanakan beliau mempelajari ilmu kashaf(perkara yang dihijabkan Allah) tersebut dan beliau ingin sekali mempelajarinya. Maka adiknya pun memberitahu bahawa dia mempelajari ilmu tersebut dari seorang pemotong daging di sebuah pasar.

Maka segeralah Imam Ghazali ke pasar untuk bertemu dengan pemotong daging tersebut untuk memintanya mengajar ilmu tersebut. Pada kala tersebut, Imam Ghazali merupakan seorang mudir yang tinggi pangkatnya di sebuah universiti dan memakai jubah kebesaran setaraf dengan pangkatnya.

Ketika Imam Ghazali bertemu dengan pemotong daging dan meminta beliau mengajarkan ilmu tersebut kepadanya, ianya ditolak dan pemotong daging menyatakan beliau tidak mempunyai ilmu untuk di ajar. Imam Ghazali terus memujuk gurunya itu untuk mengajarnya ilmu tersebut. tetapi sekali lagi ditolak, beliau meletakkan syarat kepada Imam Ghazali sekiranya ingin belajar ilmu tersebut, beliau meminta Imam Ghazali menanggalkan jubah kebesarannya itu dan membersihkan tempat potong daging tersebut dengan jubahnya itu.

Maka Imam Ghazali terus melakukan apa yang dikehendaki oleh gurunya itu. Imam Ghazali menyatakan bahawa beliau menuntut ilmu ibarat sekujur mayat yang tidak mampu melakukan apa-apa, selain menyerahkan diri kepada orang yang menguruskannya. Setelah menyelesaikan tugasnya itu, gurunya meminta hadir ke rumah beliau selepas subuh.Keesokkan harinya Imam Ghazali hadir ke rumah gurunya itu selepas subuh untuk mempelajari ilmu dari gurunya itu.

Setelah meminta kebenaran untuk gurunya mengajarkannya ilmu tersebut, gurunya itu meminta Imam Ghazali membersihkan rumput dirumah beliau. Imam Ghazali melakukan tugasan berikut dan setelah tamat beliau meminta gurunya mengajarkan ilmu tersebut. Tetapi gurunya itu meinta beliau hadir pada keesokkan harinya.

Keesokkan harinya imam ghazali hadir ke rumah gurunya dan memintanya mengajar ilmu tersebut. Tetapi gurunya itu meminta beliau membersihkan longkang di rumahnya. Imam Ghazali terus melakukan perkara yang diminta oleh gurunya. setelah menyelesaikannya Imam Ghazali meminta gurunya mengajar ilmu tersebut tetapi gurunya meminta beliau datang semula pada keesokkan harinya.

Pada esok harinya, Imam Ghazali hadir ke rumah gurunya itu selepas subuh untuk mempelajari ilmu tersebut. Setelah bertemu dengan gurunya itu, gurunya memintanya membersihkan tandas di rumahnya. Selesai melaksanakan tugas tersebut beliau bertemu dengan gurunya itu dan meminta gurunya mengajarkan ilmu tersebut kepadanya.

Gurunya meminta beliau pulang dan menyatakan bahawa beliau telah tamat mempelajari segala ilmu yang hendak dipelajarinya. Imam Ghazali pun pulang ke ke rumahnya. benar apa yang dikatakan gurunya itu, sepanjang perjalanan beliau pulang ke rumah, beliau dapat melihat perkara-perkara ghaib.

Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah ini, tetapi yang ingin ditekankan adalah perkara pertama bagaimana kerendahan hati imam ghazali dalam menuntut ilmu. Biar pun beliau merupakan seorang yang lebih tinggi pangkatnya tetapi sanggup berguru dengan seorang pemotong daging. Beliau juga menyatakan kepada gurunya bahawa beliau ini seperti mayat yang tidak berupaya melakukan apa-apa dan menyerahkan segala-galanya kepada gurunya untuk melakukan apa-apa kepadanya.

Perkara yang kedua, adalah kenapa gurunya itu meminta beliau melakukan beberapa perkara (membersihkan tempat potong daging, potong rumput, membersihkan longkan dan tandas) tersebut dan setelah melakukannya, beliau dapat melihat perkara ghaib tersebut.

Hal ini kerana perkara tersebut ibarat menanggalkan sifat mazmumah didalam hati. Apabila beliau diminta menanggalkan jubah kebesarannya untuk membersihkan tempat yang kotor, dan melakukan perkara-perkara yang kurang tarafnya kalau kita nilainya, meruntuhkan sifat mazmumah dalam dalam diri seperti riya' ujub, takbur dan sebagainya. Sifat mazmumah ini yang akan membatasi hati dan menyebabkan cahaya(ilmu) tidak dapat menembusi ke dalam hati. Ilmu yang berkat adalah ilmu tersebut dapat digunakan oleh orang yang menuntut ilmu tersebut dan kemudiannya disampaikan kepada orang lain. Mudah-mudahan ilmu itu juga digunakan demi kebaikan orang lain.

*Sumber dari muslihahmazlan.blogspot.com

Artikel Terkait

Imam Ghazali Berguru Dengan Tukang Potong Daging
4/ 5
Oleh

Berlangganan

Suka dengan artikel di atas? Silakan berlangganan gratis via email

Donate and coment. Happy blogging 😊